Ramadan

Puasa Sunat


             Puasa sunat yang sangat dituntut kepada umat Islam mengerjakannya selepas daripada puasa fardhu (Ramadhan) ialah puasa pada bulan Muharram, sama ada di awal, di tengah atau di akhir bulan.
          Islam menganjurkan kepada semua umatnya agar memperbanyakkan ibadat sunat termasuk solat sunat di mana sembahyang sunat yang paling mulia dan banyak kelebihannya di sisi Allah ialah sembahyang sunat di waktu malam, lebih-lebih lagi di waktu malam di bulan Ramadhan yang penuh berkat dan rahmat daripada Allah.
 Puasa Lidah

            Kelebihan orang yang berpuasa bukan sahaja terletak kepada menahan makan dan minum sahaja dan perkara perkara yang membantalkan puasa, tetapi menjaga setiap anggota dari melakukan perkara yang mengosongkan pahala puasa. Bahkan inilah yang sangat dikehendaki oleh Islam seperti menjaga lidah dari mengeluarkan perkataan-perkata yang kotor atau sebagainya.
            Orang yang berpuasa hendaklah banyak bersabar dalam menerima dugaan dan ujian daripada Allah S.W.T. Sekiranya mereka dimaki hamun dan diajak berkelahi oleh seseorang maka hendaklah ia berkata “aku berpuasa”.
            Untuk mengelak dari melakukan perkara yang akan merosakkan pahala puasa, maka kita digalakkan agar banyak beristighfar kepada Allah, berzikir, membaca Al-Quran dan berselawat kepada Nabi dan sebagainya.
Malam Lailatul Qadar

            Malam Lailatul qadar adalah satu malam yang paling istimewa yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Ia merupakan satu malam yang penuh rahmat dan nikmat yang paling besar daripada Allah S.W.T.
            Umat Islam hendaklah mengambil peluang ini dengan berusaha bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadat di malam yang kesepuluh akhir bulan Ramadhan iaitu dengan mengerjakan sembahyang terawih, membaca Quran, berzikir dan sebagainya kerana sesungguhnya Allah S.W.T. akan memberi keampunan bagi mereka yang menghidupkan malam tersebut
         Lailatul Qadar adalah tanda kasihnya Allah kepada hambanya yang beriman dan beramal soleh yang beribadah semata-mata mengharapkan keredaan dan keampunan dari-Nya.
       Berlakunya malam Lailatul Qadar itu hanya Allah sahaja yang mengetahuinya, bila masa dan kepada siapa yang dapat dari kalangan hamba-hambanya yang dikehendakinya.
Pemurah di bulan Ramadan

       
Ramadhan adalah kesempatan yang amat berharga untuk melipatgandakan amal kebaikan kerana salah satu hakikat ibadah puasa ialah sifatnya yang peribadi atau personal dan merupakan rahsia antara seorang manusia dengan Tuhannya.
        Segala kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan bukanlah bermakna bahawa seseorang itu hanya perlu menumpukan ibadatnya pada bulan Ramadhan sahaja. Tetapi hendaklah dijadikan sebagai satu perangsang memulakan satu titik perubahan ke arah yang lebih baik. Sabda Rasulullah yang bermaksud :Sekiranya umatku mengetahui kebaikan yang ada di dalam Ramadhan nescaya mereka akan menginginkan agar sepanjang tahun itu adalah Ramadhan. 

Penyelamat Api Neraka

     Setiap orang yang berpuasa dengan niat yang ikhlas kerana Allah, kemudian memelihara puasanya daripada amalan-amalan yang ditegah, Allah akan membalasnya dengan menjauhkan dirinya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun perjalanan. Sesungguhnya setiap amalan yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh meskipun sedikit tetap ada ganjarannya dan dinilai oleh Allah SWT. Ia menjadi saham yang boleh membantu manusia tersebut di akhirat kelak.